NOVEL: TERLANJUR MENYINTAIMU - bacaan di masa lapang
bacalah citer ni sedihnyaaaaa. ......... ........ harap2 kita
boleh ambil pengajaran.. ......... ..
Harriz. Satu nama yang cukup aku kenal satu ketika dahulu. Dia
pernah menjadi suami aku. Suami yang bergelar hanya pada nama tapi tidak pernah
memiliki sepenuhnya jiwa dan hati aku ketika itu. Perkahwinan yang berlandaskan
kertas putih dengan seribu perjanjian yang boleh menjatuhkan maruah seorang
suami. Aku tahu, Harriz tidak pernah mempersetujui dengan apa yang aku lakukan
sebelum kami mengikat tali perhubungan yang suci. Namun, kerana sayang dan
cintanya pada aku dia menerima niat aku tanpa sebarang bantahan yang keluar
dari mulutnya. Kenapa Izham tidak seperti Harriz? Sungguh berbeza nilai dan
peribadi mereka antara satu sama lain.
Harriz terlalu baik tapi hati aku tidak dapat menerima cintanya.
Kenapa?..... Dia cukup sempurna untuk menjadi seorang suami dan pemimpin yang
boleh menjaga aku sehingga ke akhir hayat. Adakah aku yang terlalu bodoh untuk
menolak cintanya yang tulus dan ikhlas menyayangi aku, atau keegoan aku yang
menguasai diri.
"Saya menerima awak bukan atas paksaan sesiapa tapi hati ini
yang ikhlas mencintai awak. Saya tahu taraf awak dan saya berbeza ibarat langit
dan bumi tetapi untuk membahagiakan awak, itu adalah jaminan saya sebagai bukti
bahawa saya menyayangi awak. Walaupun kontrak kita hanya setahun tapi cinta
saya sampai ke mati.
"Biarpun kita akan berpisah nanti, namun untuk menghilangkan
ingatan saya terhadap awak adalah amat sukar. Sekali saya dah letakkan awak
dalam hati saya bermakna awaklah gadis pertama dan terakhir yang saya cintai
walau awak membenci saya seumur hidup awak......"
Kata-kata itu masih aku ingat sampai sekarang. Keegoan aku ketika
itu mulai luntur tapi hati aku keras. Aku menolak cintanya mentah-mentah kerana
bagi aku, lelaki mudah mengeluarkan kata-kata manis namun untuk membuktikannya
adalah satu dalam sejuta. Aku tidak mempercayai Harriz. Bagi aku, Izham lelaki
pertama yang mencuri hati aku adalah terlalu sempurna untuk aku. Aku bertemu
dengan Izham sewaktu kami menyambung pengajian di London. Izham bijak memainkan
kata-katanya dengan rupa parasnya yang kacak itu untuk menambat hati aku. Hanya
dunia sahaja yang tahu bagaimana gembiranya hati aku ketika itu dapat
berpasangan dengan Izham , seorang lelaki yang menjadi rebutan gadis-gadis lain
di luar sana.
Hampir dua tahun hubungan kami terjalin. Tiada sebarang masalah di
antara kami sepanjang perhubungan itu. Pertengkaran kecil adalah perkara biasa
bagi kami. Seringkali juga kawan-kawan aku menasihatkan supaya berpisah dengan
Izham kerana dia bukanlah seperti apa yang aku sangka. Dia adalah Romeo. Banyak
kali mereka terserempak dengan Izham bersama gadis-gadis lain. Aku yang bodoh kerana
tidak pernah percaya dengan kata-kata mereka. Pada fikiran aku ketika itu,
mereka terlalu cemburukan aku. Itulah sebabnya mereka memfitnah Izham supaya
hubungan kami putus dan mereka boleh mengambil kesempatan memenangi hati Izham.
Sehinggakan aku hampir hilang kawan hanya semata-mata kerana terlalu
mempercayai Izham.
Selepas tamat pengajian, aku pulang ke Malaysia. Izham masih di
London kerana tempoh pengajiannya ada lagi setahun. Ketika itulah detik hidup
aku bersama Harriz bermula. Aku telah dijodohkan dengan Harriz oleh ayahku.
Entah mengapa, ayah terlalu sukakan Harriz sedangkan Harriz
hanyalah pekerja bawahan ayah. Dia bukanlah dari keluarga yang senang dan
setaraf dengan kami. Namun, ayah tidak mengambil kira itu semua. Kata ayah,
Harriz mampu menjaga aku sebagaimana ayah dan ibu menjaga, mendidik dan
membesarkan aku. Dia percayakan Harriz sehinggakan dia pernah berkata segala
hartanya termasuk aku akan diserahkan kepada Harriz andai satu hari nanti dia
pergi buat selama-lamanya. Kepercayaan ayah terhadap Harriz memang tiada
batasan, begitu juga dengan ibu. Aku tahu, ayah ada penyakit yang kronik iaitu
sakit jantung dan darah tinggi. Aku tak sanggup untuk menolak permintaan ayah.
Mereka adalah segala-galanya untuk aku. Betapa perit dan payahnya mereka
membesarkan aku. Ayah juga bukanlah dari keluarga yang senang tetapi berkat
kerajinan dan semangat ayah yang tinggi serta dorongan ibu membuatkan aku dapat
menikmati hidup ini dengan segala kemewahan yang tak dapat aku bayangkan. Tapi,
aku juga inginkan kehidupan aku sendiri.
Berhari-hari aku memikirkan keputusan ayah samada untuk menerima
atau sebaliknya. Kesihatan ayah tidak mengizinkan aku untuk berfikir lama.
Akhirnya, persetujuan dibuat dan dalam diam-diam aku juga turut membuat
perjanjian dengan Harriz lelaki yang tidak pernah aku temui. Aku bencikan
Harriz kerana aku menyangka Harriz bukanlah seperti apa yang ayah bayangkan.
Dia mungkin mempunyai rancangan yang besar untuk merampas kekayaan kami dengan
mengahwini aku dan berpura-pura baik di hadapan ayah dan ibu.
"Selepas kita bernikah, saya haramkan awak untuk menyentuh
saya. Kita hanya berlakon di hadapan ayah dan ibu saya begitu juga dengan
keluarga awak. Selepas setahun, awak ceraikan saya. Ini dah termaktub dalam
perjanjian kita."
Aku tidak berani memandang wajah Harriz ketika kami berjumpa buat
pertama kalinya di sebuah restoran. Aku akui, Harriz memang tampan orangnya
malah lebih kacak daripada Izham. Sedikit sebanyak hati perempuan aku mulai
cair namun aku pantas melarikan fikiranku pada perkara yang lain. Harriz
merenung aku tanpa berkelip mata. Aku gelabah. Langsung tidak dibaca perjanjian
MOU yang aku letak di hadapannya. Sakit hati aku dibuatnya ketika itu. Aku
kuatkan semangat untuk memandang Harriz dan cuba berlagak serius.
"Tuhan kurniakan mata untuk melihat apa yang ada di hadapan
kita. Saya dah letakkan fail perjanjian kita di hadapan awak. Takkan awak tak
tahu nak menggunakan mata awak tu untuk melihat apa yang patut?" Aku
memerli Harriz. Dia cuma tersenyum. Masih tidak puas menatap wajah aku. Seluruh
pelusuk wajahku dijajahnya.
"Memang Tuhan anugerahkan mata untuk melihat. Sekarang, saya
sedang melihat satu lagi anugerah Tuhan yang diberikan kepada saya. Kecantikan
yang tidak pernah saya bayangkan, tapi sekarang baru saya tahu bahawa sungguh
indah alam ini dengan adanya wanita secantik awak, Nurul Ain Bt Hamdi..."
Ungkapan pertama keluar dari mulut Harriz.
Aku tersedak, hampir tersembur fresh orange yang sedang kuminum.
Pantas tanganku mencari tisu di dalam beg tangan. Harriz masih tersenyum. Merah
padam muka aku menahan malu. Bijak sungguh Harriz bermain dengan kata-kata. Aku
hampir terpedaya dengan pujiannya. Ahh...Lelaki, semuanya sama...
"Tapi sayang, awak tidak menggunakan kecantikan awak itu
untuk melambangkan hati awak. Buat pengetahuan awak, saya ini bukanlah seperti
apa yang awak bayangkan. Niat saya ikhlas untuk memperisterikan Nurul Ain Bt
Hamdi. Jangan kerana awak kaya dan hidup mewah, awak takut saya akan merampas
semuanya itu dari tangan keluarga awak. Terus terang saya katakan, seandainya
awak ini adalah gadis cacat yang kudung tangannya atau bisu mulutnya saya tetap
akan mengahwini awak walau awak miskin sekalipun.
"Bagi saya, harta boleh dicari tapi cinta yang tulus suci
hanyalah wujud sekali dalam hidup kita dan awak adalah wanita yang berada di
dalam hati saya sekarang sehinggalah saya tidak bernafas lagi di atas bumi
bertuah
ini." Harriz tersenyum lagi.
Aku pula tergamam. Macam mana dia boleh mengenali aku sejauh
begitu. Kata-katanya kedengaran seolah-olah kami pernah berjumpa. Tapi, aku
rasa tidak kerana inilah kali pertama aku melihat wajahnya. Sungguh pelik orang
ini. Harriz membuka fail biru itu. Tanpa dibaca walau sebaris ayat pun, dia
mengambil pen dari poket bajunya lantas ditandatangani MOU tersebut.
"Awak tak berniat nak baca MOU itu sebelum awak sign?"
Aku memberanikan diri untuk bertanya pada Harriz. Sekali lagi dia memandang aku
dengan pandangan yang penuh bermakna baginya.
"Kalau saya baca, adakah niat awak itu akan berubah untuk
menerima saya bagaimana ikhlasnya saya menerima awak?" Terperangkap lagi
aku dengan kata-katanya. Entah kenapa di mana hilangnya marah aku dan semangat
aku ketika itu. Lelaki ini benar-benar lain. Tidakkk!!... .. Aku bukan mudah
untuk menerima dia. Cinta aku pada Izham masih kuat. Harriz bangun. Air minuman
yang dipesan tidak disentuh, masih suci sepertimana aku.
"Assalamualaikum. ..." Itulah kata-kata terakhir yang
diucapkannya sebelum meninggalkan restoran itu. Aku terpinga-pinga. Pelik dan
aneh lelaki ini. Sebelum aku berjumpa dengan Harriz, terlalu banyak kemusykilan
tentangnya yang berlegar-legar di dalam fikiran aku. Kini pada pertemuan
pertama kami, semakin bertambah kusut fikiran aku memikirkan tentang Harriz.
Siapakah dia sebenarnya? Apakah yang dia mahu daripada aku? Atau adakah dia
memang benar-benar tulus mencintai aku. Ahhhhh....makin difikir, makin pening
aku dibuatnya.
************ ********* ********* ********* ********* ********* **
Kini, telah hampir seminggu aku menjadi isteri kepada seorang
lelaki yang tidak aku cintai. Majlis perkahwinan yang diadakan amat meriah
tetapi aku tidak merasai keseronokan itu. Mungkin Harriz juga begitu.
Perhubungan aku dan Harriz memang terbatas. Itu adalah syarat aku sendiri
sebelum Harriz melafazkan akad nikah. Kami hanya berpura-pura mesra di hadapan
ibu dan ayah tetapi di sebalik tabir kehidupan kami, tidak wujud kemesraan
tersebut. Harriz benar-benar memberi kerjasama yang baik. Kadangkala simpati
aku menjengah di hati kecilku. Pernah aku menasihati dia supaya melepaskan aku
sebelum tamat kontrak perkahwinan kami tapi Harriz bukanlah lelaki yang senang
dipujuk rayu.
"Saya seorang yang menepati janji. Walau hati ini berat untuk
berpisah dengan awak, saya tetap akan patuhi syarat awak bahawa kita hanya
bercerai selepas tamat tempoh kontrak. Awak sendiri tahu bagaimana perasaan
saya pada awak. Tidak munasabah andai saya menceraikan awak sekarang. Kalau
boleh, saya mahu takdir membuka pintu hati awak untuk menerima cinta saya dan
menyayangi saya sebagaimana tulus dan sucinya cinta saya terhadap awak."
Tiba-tiba Harriz memegang tangan kananku ketika aku sedang
mengikat rambut lantas diciumnya perlahan seolah-olah aku ini bagaikan puteri
yang sedang berhadapan dengan rakyat biasa. Berderau darahku ketika itu. Aku
menjarakkan diri. Bulat mataku memandangnya. Tanpa segan renungan Harriz
semakin tajam memandang ke arah aku. Aku gementar. Rasa marah dan geram wujud
dalam diri ini. Harriz cuba untuk memperdayakan aku dengan kata-kata manisnya.
"Tolong jangan bersikap kurang ajar! Sudah cukup selama ini
saya bertahan dengan sikap dan perangai awak!! Awak jangan umpan saya dengan
kata-kata manis awak tu. Saya tak akan terpengaruh. Kontrak tetap kontrak.
Biarpun setahun atau dua tahun atau selama-lamanya, saya tidak akan mencintai
awak atau belajar untuk menyintai awak!!
"Cinta saya hanyalah untuk Izham. Awak tahu bukan? Izham
lebih dahulu hadir dalam hidup saya tapi awak merosakkan segala-galanya dengan
memperalatkan ayah dan ibu saya. Saya bukan macam mereka. Itu sahaja yang awak
perlu tahu!!" Bentakku tiba-tiba dengan penuh berani.
Aku sendiri terkejut dengan tindakan aku. Dari mana aku dapat
kekuatan untuk melawan perasaan aku? Aku memaling ke arah lain. Terasa semangat
untuk mempertahankan diri wujud dalam diri ini. Mungkin kerana rindu aku pada
Izham semakin kuat dan kesalahan aku pada Izham juga berat.
Harriz hanya diam. Sedikit sebanyak nampak juga perbezaan di raut
wajahnya yang mungkin terkejut dengan kata-kata amarahku yang tiba-tiba.
"Maafkan saya kerana buat awak marah. Saya tak ada niat untuk
menyakitkan hati awak, Nurul Ain. Saya harap kita masih boleh jadi kawan,"
ringkas sahaja kata-kata Harriz kali ini. Aku masih tidak memandang wajah
Harriz.
"Nampaknya dah masuk waktu solat Isyak sekarang. Mari, kita
berjemaah," pelawa Harriz lembut. Aku memandang wajahnya. Dia tersenyum,
"Saya tunggu di bilik." Harriz berlalu pergi meninggalkan aku di
ruang tamu. Perasaan marahku sudah reda. Malu pun ada bila mengenangkan kembali
kemarahan aku yang berapi-api itu. Nampaknya Harriz masih boleh buat muka
selamba sedangkan sudah berbakul-bakul aku memarahinya sepanjang dia duduk di
rumahku.
Tidak tahu bagaimana lagi untuk aku mewujudkan rasa benci dalam
diri Harriz supaya dia membenci aku. Kini, perkahwinan kami sudah hampir 3
bulan. Ayah dan ibu pula sudah bertanya tentang keadaan kesihatan aku. Itu
tidak lain dan tidak bukan mesti berkaitan dengan hal anak. Bagaimana aku nak
memberitahu mereka bahawa aku ini masih suci lagi. Harriz tidak pernah
menyentuh aku walaupun dia berpeluang. Dia benar-benar mengikut segala kontrak
yang ditulis oleh aku itu supaya tidak menjalinkan apa sahaja hubungan dengan
aku. Aku bertambah bingung. Segala apa yang aku lakukan semuanya tidak menjadi.
Harriz masih lagi menyayangi dan menyintai aku. Aku dah tak tahu nak buat apa.
Aku rindukan Izham di saat-saat begini. Aku kesunyian. Tanpa Izham aku rasa
kehilangan. Kadangkala aku nampak bayangan Izham dalam diri Hariz. Sampai bila
aku mampu bertahan. Harriz terlalu baik terhadap aku. Hanya perempuan gila
sahaja seperti aku yang tidak jatuh cinta padanya setelah pelbagai cara dia
lakukan untuk menambat hati aku. Aku juga manusia biasa. Cinta akan datang dan
pergi sesuka hati dalam hidup ini. Apakah perasaan aku terhadap Harriz
sekarang? Aku semakin bingung dengan kehidupan yang aku lalui kini.
Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Aku tiba lewat di rumah. Tapi,
bukan kerana banyak kerja di pejabat cuma aku sengaja pulang lambat supaya
Harriz menyangka aku perempuan yang selalu balik lewat malam kerana puas
berseronok di luar. Terjengket-jengket kaki aku melangkah masuk. Suasana gelap
menyelubungi rumah banglo dua tingkat pemberian hadiah ayah sempena perkahwinan
kami. Mujurlah hanya aku dan Harriz yang tinggal di sini. Kalau tidak, tentu
aktiviti kami akan terbongkar lebih awal. Minta-minta Harriz akan memarahi aku
kerana pulang lewat. Aku berjalan perlahan-lahan menuju ke tangga tapi aku
telah terlanggar sesuatu yang besar di hadapan. Hampir terjatuh aku dibuatnya
namun, mujur ada seseorang yang sempat memaut pinggangku supaya tidak terjatuh.
Berderau darah dibuatnya. Lampu ruang tamu dipasang...
Aku tergamam. Pinggangku masih lagi dipaut oleh Harriz. Mata
bertentang mata. Hampir beberapa saat aku tidak bercakap. Tersedar dari
lamunan, aku pantas menolak Harriz ke tepi. Wajahku mula berubah. Merah padam
jadinya. Marah bercampur malu benar-benar ada dalam diri aku sekarang
"Awak ni kenapa?!! Macam pencuri!! Nasib baik saya ni tak ada
sakit jantung. Dah pukul 2.00 pagi.
Awak tak reti-reti nak tidur?" Aku memarahi Harriz.
"Saya tunggu awak...."
"Tak payah nak tunggu-tunggu. Saya ni bukannya budak kecik
lagi. Saya tahu pukul berapa saya nak balik. Awak ni orang gaji saya ke?"
"Awak dah makan? Hari ni saya masak lauk kegemaran awak,
masak lemak cili api ikan keli. Awak mesti suka. Mari makan sama, saya tak
makan lagi ni."
Harriz mempelawa aku. Masak lemak cili api ikan keli? Terliur aku
dibuatnya. Aku memang tengah lapar gila ni. Maklumlah, satu hari aku tak makan
apa. Tengah hari tadi tak keluarpun sebab kerja banyak. Petang pula ada
mesyuarat. Bila dah habis kerja, aku pulak yang sengaja balik lewat hanya
semata-mata nak nak sakitkan hati Harriz. Sampai pukul 1.30 pagi aku duduk di
pejabat. Tak terfikir nak makan pun. Sekarang, dah lapar. Bodoh betul aku.
Takkanlah aku setuju nak makan dengan dia. Habislah rancangan aku nak bagi dia
marah.
"Awak ni pandai masak ke? Saya ni memilih orangnye. Takpelah
saya dah kenyang. Dah makan kat luar pun. Awak nak makan, awak makanlah
sorang."
Aku pura-pura menguap di hadapannya "Ahh.. ngantuknya..
"
"Saya tahu awak belum makan lagi. Awak tentu lapar."
Harriz terus menuju ke ruang makan. Dia membuka tudung saji dan menyendukkan
nasi untuk aku dan dirinya sendiri. Beria-ia benar dia mengajak aku. Macamana
dia tahu aku tak makan? Aku masih lagi tercegat di antara ruang tamu dan ruang
makan.
Sesekali aku menjeling ke arah Harriz yang sedang leka menyiapkan
makan malam yang rasanya dah boleh jadi makan pagi. Sanggup dia tak makan
kerana menunggu aku semalaman. Boleh percaya ke lelaki ni? Jangan-jangan dah
siap makan. Saja nak tarik perhatian aku supaya simpati kat dia. Aku pantas
menaiki tangga meninggalkan Harriz.
"Awak tak nak makan? Tak sakit perut ke, awak? Nanti, kalau
awak jatuh sakitkan susah..." Harriz menasihati aku. Langkahku terhenti.
"Awak tak faham bahasa Melayu? Kan saya dah cakap, saya dah
kenyang. Kalau awak nak makan, awak makanlah sorang. Saya nak naik atas, nak
mandi dan tidur. Awak jangan ganggu saya!!" aku bentak keras.
"Tak pelah, saya makan dulu. Nanti, kalau awak rasa lapar,
awak makanlah ye. Pergilah awak berehat," Harriz mengakhiri perbualan
kami. Aku terus naik ke atas dengan perut yang benar-benar lapar. Rasa nak
terbalik dunia ni. Ya Allah laparnya. Hanya Tuhan saja yang tahu. Kenapalah aku
boleh bertindak bodoh. Dah ada orang siap masak, aku saja yang sombong tak
bertempat. Sekarang, siapa yang merana? Bukankah aku...?
Itu baru satu keadaan di mana dia boleh bertahan dengan sikap aku.
Tapi, kali ini aku pula yang tak tahan dengan keadaan kami apabila terpaksa
berlakon di depan ayah dan ibu sewaktu kedatangan mereka ke rumah kami. Dari
berdiri jarak 50 meter kini dah rapat macam belangkas. Dari muka yang masam
macam cuka kini aku terpaksa senyum meleret. Aku kena memainkan peranan sebagai
isteri dan Harriz sebagai suami sedangkan gelaran itu memang ada pada kami.
Terasa kaku aku pada permulaan watak tetapi Harriz bijak memainkan peranannya
sebagi suami.
"Berapa lama mak dan ayah nak tinggal di sini?" Aku
mengajukan soalan sebaik sahaja ibu dan ayah duduk di ruang tamu selepas kami
menjamu selera tengah hari itu. Percaya atau tidak, semua masakan dimasak oleh
Harriz tapi dia memberitahu ibu dan ayah yang aku memasaknya. Ibu tersenyum
menggeleng.
"Ain...Ain.. . Mak dan ayah belum panas punggung lagi dah
ditanya bila nak balik. Mak ni, rindukan anak mak. Salahke mak melawat anak mak
yang kini dah jadi isteri orang," balas ibu. Aku tertunduk malu. Ye tak ye
jugak..
"Ain ni bukannya apa mak. Dia takut mak dan ayah balik awal.
Duduklah 2-3 hari kat sini, mak. Lama-lama pun tak apa. Kami pun berdua. Kalau
ada mak dengan ayah, taklah sunyi kami ni.." Harriz menyampuk. Aku
menjeling pada Harriz. Nampaknya, dia ni nak mengambil kesempatan. Ketika itu
tangan kirinya sengaja memeluk pinggangku. Aduh, geli betul. Aku tak boleh nak
tolak.
"Yelah, mak. Duduklah lama-lama kat sini. Mak pun tentu bosan
duduk kat rumah, lagipun ayah kerja." Aku terpaksa menipu. Kalau boleh nak
saja aku menyuruh mak dan ayah balik sekarang juga. Bukannya aku tak sukakan
mereka tapi aku tak mahu berlakon lagi.
"Tak bolehlah macam tu. Kamu dah berkeluarga. Mak dan ayah
tak nak ganggu kamu. Kami ni datang saja nak melepas rindu. Dua hari lagi kami
baliklah."
Alamak 2 hari lagi??? Terasa seperti 2 tahun nak menunggu mereka
balik. Aku lihat Harriz tersenyum meleret. Makin erat dia memeluk pinggangku.
Suhu di kepala aku ni dah mendidih. Rasanya nak saja aku cekik-cekik Harriz
sekarang. Betul-betul mengambil kesempatan. Aku pantas bangun. Semua mata
memandang ke arah aku.
"Tak pelah, mak ayah. Ain ada hal sekarang ni. Pukul 2 petang
Ain ada mesyuarat dengan pelanggan. Nanti malam baru Ain balik. Mak dan ayah
tak payah tunggu Ain. Tak tahu pukul berapa Ain balik."
"Hari ni kan Ahad, Ain. Takkan bekerja jugak. Kesian kat
Harriz ni. Sepatutnya, masa cuti jangan diganggu. Kamu tu dah kahwin, dah
bersuami. Kamu kena jaga makan pakai si Harriz ni. Kesian Harriz."
Berbakul-bakul ibu membela Harriz. Eeeee....bertambah- tambah geram aku. Ayah
hanya tersenyum. Tak banyak cakap. Malas nak masuk campurlah tu. Pendek kata,
apa saja yang ibu cakap ayah akan setuju. Betullah mereka ni satu kepala.
Berbeza aku dan Harriz, ibarat panggang jauh dari api.
"Ain memang ada hal petang ni, mak. Tak boleh nak tolak.
Pelanggan Ain tu dari Jepun. Dia tak boleh lama kat sini." Aku membalas
kata-kata ibu dengan harapan Harriz akan membantu aku.
"Takpe, mak. Saya tak kisah, lagipun selama ni tak pernah
kurang kasih sayang Ain pada saya. Lagipun saya kenal pelanggan Jepun tu. Dia
kawan lama saya masa kursus kat Tokyo dulu." Harriz menyokong aku. Lega
rasanya di hati. Aku memandang Harriz. Dia hanya tersenyum.
Tiba-tiba saja dihulurkan tangannya supaya aku mencium tangannya.
Mahu tak mahu terpaksalah aku bersalam dan mencium tangan Harriz.
"Saya pergi dulu, bang.." Lembut aku bersuara meminta
izin. Mak dan ayah tersenyum-senyum memandang gelagat kami berdua. Rasa senang
di hati mereka melihatkan kemesraan aku dan Harriz yang sebenarnya dibuat-buat.
************ ********* ********* ********* ********* ********* **
Aku terlalu rindukan Izham. Kenapa Izham tiba-tiba sahaja
menghilangkan diri. Sudah lama dia tak menghubungi aku. Hampir 3 bulan aku tak
mendengar suaranya. Izham masih lagi di London. Dahulu, di awal usia
perkahwinan kami Izham sering menelefon aku. Suaranya benar-benar memberi aku
semangat. Izham tahu mengenai masalah aku dan Harriz. Dia juga tahu rancangan
aku mengenai 'perkahwinan kontrak' ini. Izham langsung tidak memarahi aku. Dia
tahu bahawa aku menerima Harriz bukan atas dasar cinta tapi atas dasar hormat
aku pada ayah. Dia jugalah yang menyokong aku dan katanya lagi bahawa dia
sanggup menunggu aku bukan saja setahun malah selama hayatnya masih hidup dia
sanggup menanti aku. Aku dapat rasakan ketika itu akulah wanita yang paling
bertuah kerana dapat memiliki cinta Izham yang betul-betul ikhlas menyayangi
aku.
Namun suara Izham hanya dapat aku dengar 3 bulan yang lalu. Di
mana Izham sekarang? Mungkinkah dia terlalu bosan menunggu dan terus menunggu
kehadiran aku dalam hidupnya? Ahh... kalau aku jadi Izham pun sudah pasti
perkara yang sama akan aku lakukan. Satu tahun bukannya tempoh yang singkat.
Sedangkan hati boleh berubah inikan pula penantiannya yang boleh dianggap satu
angan-angan yang tak pasti. Ini semuanya berpunca daripada Harriz. Kadangkala
aku terlalu bencikan Harriz tetapi kehadiran Harriz jugalah sedikit sebanyak
telah mengubah hidup aku. Tidak dapatku sangkal bahawa dia seorang suami yang
baik, dan benar-benar mengambil berat tentang diri ini. Aku sahaja yang tidak
pernah menghargai kehadirannya dalam hidup aku. Tiada lelaki lain selain Harriz
yang tulus ikhlas menyayangi, menyintai, dan menghormati aku.
Bila difikir-fikirkan, aku rasa bertuah kerana punya seorang suami
yang terlalu memahami aku. Memanjakan aku seolah-olah aku ini budak kecil yang
perlu didodoi. Aku sakit dia menjadi doktorku, aku lapar dia menjadi tukang
masakku malah bila aku terlambat ke pejabat dia sanggup menghantarku sedangkan
ketika itu dia punya urusan lain. Tapi, kenapa mesti Harriz? Bukan Izham?
Tiba-tiba saja hati aku terdetik, mungkinkah jodohku memang
bersama Harriz. Sisa-sisa hayatku adalah hidup bersama Hariz sehingga aku mati.
Di mana Izham sekarang? Kenapa dia menghilangkan diri? Sudah tiada lagi
cintakah di dalam hatinya untukku? Atau aku sahaja yang mengangankan sesuatu yang
bukan milikku. Sedangkan sesuatu yang sudah tentu menjadi milikku aku abaikan
begitu saja. Antara Harriz dan Izham?? Siapa yang harus aku pilih?
Ooohhh...Terlalu sukar hidup ini.
"Masih panas lagi suhu badan awak ni. Saya bawa awak ke
klinik.." Aku ingat lagi peristiwa pertama yang mencetuskan rasa sayang
aku pada Harriz dan wujudnya rasa cinta dan kasih di hati ini pada Harriz.
Ketika itu aku demam panas. Memang aku tak mampu nak berbuat apa-apa kerja
ketika itu. Nak bangun dari katil pun tak terdaya. Mungkin waktu itu aku
terlalu rindukan Izham dan dalam masa yang sama aku juga sibuk dengan
kerja-kerjaku di pejabat.
"Tak pe, saya sihat. Panas sikit je. Lepas makan Panadol,
sihatlah. Awak tak payah nak risaukan saya. Saya tahu apa yang saya buat. Awak
buatlah kerja awak. Jangan ganggu saya, boleh tak?" Aku meninggikan suara.
Tapi bukannya aku marahkan Harriz, cuma aku tak tahan dengan kesakitan di
kepala yang aku alami. Harriz masih tak berganjak. Dia meletakkan tangannya di
dahiku. Aku menepis dengan kuat tangan Harriz. Berkerut-kerut dahiku menahan
sakit. Aku cuba bangun tapi tak mampu. Dengan pantas tanpa pedulikan
kemarahanku, Harriz terus mendukungku keluar dari bilik. Aku benar-benar
terkejut dengan tindakannya. Habis tubuh Harriz menjadi sasaran aku untuk
memukul.
"Awak nak bawak saya ke mana ni ? Lepaskan saya!!" Aku
cuba menjerit tapi badan aku terlalu lemah dan tak mampu untuk aku meninggikan
suara.
"Awak sakit di hadapan mata saya. Takkan saya nak jadi orang
bodoh untuk dengar kata-kata awak supaya tinggalkan awak dalam keadaan macam
ini. Saya nak bawak awak ke klinik. Nyawa awak lebih penting sekarang."
Harriz....Sungguh mulia hatimu. Aku buta untuk menilai kasih sayangmu yang
mencurah-curah mencintai diri ini sedangkan aku terus bodoh menanti pada orang
yang tak pasti. Sedikit demi sedikit hati wanitaku mulai cair. Sepanjang aku
terlantar sakit Harriz menjaga aku siang dan malam. Dia sanggup mengambil cuti
semata-mata untuk menemani aku. Segala makan dan pakai semuanya Harriz yang
lakukan untuk aku, biarpun pada mulanya aku malu dengan tindakan Harriz. Entah
mengapa, perasaan benci dan marah dalam diri ini pada Harriz berubah menjadi
kasih dan sayang pada Harriz. Aku benar-benar terharu dengan keikhlasannya
selama ini dan aku juga bangga dengan ketabahan Harriz yang sanggup hidup
bersama aku susah dan senang. Dia tidak pernah kisah dengan caci makiku dan
kutukan aku pada dirinya selama ini. Kesabarannya terhadap kedegilan aku
membuatkan aku mula jatuh cinta pada Harriz. Tetapi keegoan aku mengatasi
segalanya. Aku malu untuk meminta maaf pada Harriz walaupun selama ini aku yang
banyak melakukan kesilapan.
Aku tahu, aku seorang isteri tapi aku tak pernah menjalankan
kewajipanku. Aku gagal menjadi isteri yang sempurna pada Harriz. Dua minggu
lagi akan tamatlah ikatan kontrak perkahwinan kami. Sepatutnya aku boleh
gembira sekarang kerana tidak lama lagi Harriz akan melafazkan kata-kata
keramat bagi seorang isteri. Namun, kegembiraan itu tidak dapat aku rasakan
sekarang. Buat pertama kali dalam hidup aku, aku dapat melupakan ingatan aku
pada Izham. Kerinduan pada Izam sudah tiada lagi. Yang terbayang di dalam
fikiran aku sekarang hanyalah Harriz Bin Hisham, seorang suami yang terlalu
agung darjatnya dalam hati aku. Aku benar-benar takut untuk berpisah dengan
Harriz. Selepas ini Harriz bukanlah lagi peneman setia aku. Aku dapat rasakan
bahawa hidupku selepas ini akan sunyi. Tiada lagi senyuman Harriz dan gurauan
Harriz. Ooohh..TuHAN! ! Apa yang telah aku lakukan sekarang?
"Selagi awak di hadapan mata saya dan awak hidup bersama
saya, selagi itulah kewajipan saya sebagai suami akan saya lakukan. Biarpun
dalam kontrak tidak tertulis, namun sudah menjadi tanggungjawab seorang suami
supaya menjaga isterinya samada dalam keadaan susah mahupun senang. 2 minggu
lagi, hubungan kita akan tamat. Tapi, percayalah biarpun sehari malah sesaat
pun, awak tetap di hati saya. Saya tahu kebencian awak pada saya tidak akan
hilang. Begitu juga dengan cinta saya. Ianya tidak akan pernah pudar. Andai
diberi peluang sekali lagi, saya mahu teruskan hidup ini bersama awak Nurul
Ain. Nama awak sudah terpahat di dalam hati saya."
Harriz mengusap rambutku dengan kain basahan sewaktu memandikan
aku yang terlantar sakit. Tiba-tiba satu ciuman diberikan di dahiku. Terasa
ingin mengalir air mata ini, namun aku dapat bertahan. Mataku ketika itu masih
tertutup. Mungkin Harriz menyangkakan aku sedang tidur tetapi tidak sebenarnya.
Segala kata-kata luahan hati Harriz dapat aku dengar cuma aku tidak berani
untuk menatap wajah Harriz ketika itu. Harriz, kenapa kau terlalu baik pada
diri ini yang seharusnya tidak layak untuk berada di hatimu yang suci itu. Aku
tidak mampu untuk menyintai seperti mana engkau menyintai aku. Andai engkau
dapat mendengar luahan hati ini, berjuta-juta kemaafan ku pohon darimu tapi
untuk meluahkannya hati aku amat berat. Aku malu sebenarnya Hariz. Terasa kecil
diri ini di hadapan matamu Harriz.
"Kenapa awak menerima saya untuk menjadi isteri awak
sedangkan sebelum ini kita tidak pernah berjumpa. Awak tak pernah mengenali
saya, tapi awak sanggup berkahwin dengan saya. Bukankah itu satu tindakan yang
bodoh namanya?" Aku memberanikan diri untuk bertanya pada Harriz sewaktu
kami menjamu selera di sebuah restoran selepas balik dari berjumpa dengan ibu
dan ayah. Harriz tersenyum. Dia memandang aku. Aku jadi kaget.
"Soalan itu rasanya sudah saya jawab sebelum kita menjadi
suami isteri lagi. Nama awak sebenarnya sudah lama terpahat di dalam hati saya.
Hampir dua tahun saya mengenali awak sebelum saya berjumpa dengan awak."
Harriz sengaja menoktahkan ayatnya di situ supaya aku semakin keliru. Kali ini
aku yang memandang wajahnya dengan seribu pertanyaan di kepala.
"Dunia ini tidaklah sebesar mana. Tuhan mentakdirkan hidup
saya supaya bertemu dengan awak bukan di bumi Malaysia. Saya juga pernah
belajar di luar negara dan sama universiti dengan awak." Aku ternganga.
Ligat otakku mengingati semula wajah-wajah pelajar Malaysia yang pernah aku
jumpa di London. Rasanya tiada langsung wajah Harriz yang pernah aku jumpa. Betulke
dia ni atau sengaja nak memainkan aku?
"Setahu saya pelajar Malaysia tidaklah sebanyak mana pun,
tapi kenapa saya tak pernah berjumpa dengan awak? Awak jangan nak bergurau
dengan saya." Aku seakan tidak percaya. Benarkah apa yang Harriz cakapkan
sebentar tadi?
"Saya belajar part time. Awak memang tidak akan perasan saya.
Saya belajar waktu malam, tapi awak dan Izham selalu datang makan di restoran
tempat saya bekerja. Ingat tak Café Bistroze? Saya jadi pelayan bar di situ.
Maklumlah, saya ni orang miskin, tak mampu nak belajar sepenuh
masa. Siang saya bekerja dan malam saya belajar. Ketika itulah saya sempat
mengenali awak." Harriz menamatkan ayatnya di situ. Dia menghabiskan
minuman. Aku terdiam. Sungguh tak ku sangka, dunia ini terlalu kecil. Tuhan
menemukan aku dan Harriz tanpa aku mengenali siapa dirinya. Harriz terlalu
pandai menyimpan rahsia.
"Esok, genap setahun kita menjadi suami isteri yang sah
seperti mana termaktub dalam kontrak yang telah saya tandatangani. Biarpun hati
ini berat untuk melepaskan awak tapi saya tidak pernah lupa dengan janji saya.
"Melukakan hati dan perasaan awak adalah satu dosa paling
besar di mana saya tidak dapat memaafkan diri saya sendiri. Awak terlalu suci
di mata saya. Awak tak pernah bersalah dengan saya. Saya yang seringkali
melukakan hati awak selama ini. Saya benar-benar berharap agar awak dapat
ampunkan dosa-dosa saya." Harriz tertunduk menahan sebak di dada.
"Terus terang saya katakan, esok adalah hari yang paling saya
takutkan. Saya dapat rasakan bahawa esok akan mengubahkan segala takdir hidup
saya yang selama ini saya rasakan indah. Hidup bersama awak adalah satu
kenangan yang paling manis buat saya. Segalanya berubah bila awak hadir dalam
diri saya. Awak adalah semangat saya untuk saya teruskan hidup ini yang kian
singkat...."
Aku rasa hairan dengan kata-kata terakhir Harriz. Apa yang dia
cuba maksudkan? Hariz yang berada di hadapan aku sekarang bukanlah Harriz yang
selama ini aku kenal. Aku dapat lihat perubahan di wajahnya. Lain benar seakan
menyimpan satu rahsia yang tidak aku ketahui. Aku juga dapat lihat air mata
lelakinya hampir mengalir tapi mampu ditahan.
"Awak tak pernah bersalah dengan saya. Saya yang sepatutnya
memohon ampun dan maaf dari awak kerana dosa saya sebagai isteri adalah terlalu
besar. Saya kagum dengan awak kerana menghormati saya dan keputusan saya selama
ini. Awak seorang lelaki yang terlalu baik dan saya tidak layak untuk berada di
hati awak. Saya percaya, selain saya akan ada seorang wanita lain yang akan
muncul dalam hidup awak dan benar-benar menerima cinta awak dan menyayangi awak
lebih dari segala-galanya di dunia ini."
Aku juga menahan sebak. Tidak mahu air mata ini mengalir di
hadapannya. Percayalah Harriz, sesungguhnya hati ini telah lama engkau miliki
tapi aku tak mampu untuk berterus terang. Aku perlukan masa. Tidak tahu berapa
lama lagi. Aku sebenarnya terlalu malu untuk berhadapan dengan dirimu yang
tulus ikhlas mencintai aku. Aku tahu, aku bodoh selama ini kerana tidak nampak
sebutir permata yang boleh menerangi sepanjang hidupku. Harriz hanya mampu
tersenyum. Dia memegang tanganku lantas ciuman kasihnya diberikan. Aku dapat
rasakan mungkin itu adalah ciumannya yang terakhir sebelum kami berpisah.
"Selepas ini, saya harap awak tidak akan hilangkan ingatan
awak pada saya. Biarpun diri saya ini hanyalah sebesar zarah di hadapan mata
hati awak, namun awak jangan lupakan saya. Kalau boleh, biarlah berkekalan
sampai ke akhir hayat awak. Setahun adalah satu tempoh yang singkat untuk saya
lebih mengenali awak.
"Kalau Tuhan mentakdirkan umur saya panjang ingin rasanya
sekali lagi saya harungi hidup ini bersama awak di dalam satu keadaan yang
berbeza di mana awak benar-benar mencintai saya dan menyayangi saya sepenuh
jiwa dan hati awak. Andai terjadi, saya dapat rasakan bahawa sayalah manusia
yang paling bertuah dapat memiliki awak." Kami bertentangan mata buat kali
terakhir. Aku jadi sayu apabila memandang wajahnya. Takdir kami akan berubah
esok. Mungkinkah ianya terjadi....
Malam itu aku tidur di dalam seribu ketakutan. Esok pasti akan
terjadi, begitu juga dengan lafaz kontrak akan termaktub. Ahhh..undang- undang
yang dibuat manusia. Sentiasa menyusahkan. Takdir hidup aku esok akan
ditentukan. Aku tahu bukan sahaja aku, malah Harriz lebih merasai ketakutannya.
Dia terlalu mencintai aku. Malah kerana cintanya itu akhirnya memakan dirinya
sendiri. Dia menghormati segala keputusan aku kerana ikhlasnya cinta Harriz
pada diri ini. Keesokan harinya aku terlewat bangun. Tergopoh gapah aku keluar
dari bilik. Aku dapat rasakan sesuatu...Harriz tiada di dalam biliknya. Begitu
juga dengan kereta Harriz, tiada di luar. Aku terduduk di ruang tamu. Terlalu
cepat Harriz meninggalkan cintanya. Tidak sempat untuk dia berkata sesuatu pada
aku buat kali yang terakhir. Mungkin Harriz tidak mampu untuk berhadapan dengan
aku. Kontrak perkahwinan terletak kemas di atas meja. Aku dapat lihat sepucuk
sampul surat berwarna biru di atas kontrak tersebut. Hati aku berdebar-debar.
Semakin lama getaran di dadaku semakin terasa. Tanganku menjadi sejuk.
Menggigil-gigil jari jemari ini untuk menyentuh surat tersebut. Lama aku
perhatikan surat Harriz. Aku tak sanggup nak buka kerana aku tahu segala
keputusan semuanya berada di dalam baris-baris ayat surat tersebut. Aku takut,
namun, aku pasrah. Ia kehendak Tuhan dan hati aku sendiri. Aku harus menerima
segala keputusan dengan tenang.
Lagipun selama ini itulah yang aku minta pada Harriz biarpun
Harriz berat untuk melakukannya. Dengan lafaz Bismillah aku membuka lembaran
surat tersebut dan akhirnya....
"Bahawasanya saya HARRIZ BIN HASHIM dengan ini menceraikan
NURUL AIN BT HAMDI dengan talak satu. Segalanya adalah mengikut kontrak
perkahwinan yang telah kami tandatangani iaitu bertarikh 30 DISEMBER 2002"
-HARRIZ BIN HASHIM-
Dia benar-benar melakukannya. ..Pertama kali air mataku mengalir.
Aku kini bukan milik Harriz lagi. Tahniah untuk diriku sendiri kerana
permainkan undang-undang Tuhan dan natijahnya aku yang terima sekarang.
Ooohh..Harriz. Kenapa kau berlalu pergi begitu saja. Tiada langsung ucapan
selamat tinggal yang keluar dari mulutmu. Kenapa hatimu terlalu lembut? Kenapa
kau tidak memujuk aku supaya jangan berpisah ? Andai ianya berlaku sudah pasti
aku tak mahu engkau meninggalkan aku. Aku mula menyayangi dirimu Harriz..
Benih-benih cinta dan kasih dalam diri ini pada Harriz sudah bercambah tapi aku
tak mampu untuk tunaskannya. ..
************ ********* ********* ********* ********* ********* *
Hampir 2 bulan selepas perceraian kami aku tidak pernah bertemu
dengan Harriz. Dia menghilangkan diri begitu sahaja. Aku tidak tahu ke mana
Harriz membawa diri. Sudah puas aku mencari tapi Harriz tidak juga aku temui.
Aku sudah bernekad bahawa aku mesti mencari Harriz. Aku ingin mengikat semula
tali perhubungan kami yang terputus. Aku telah bersumpah bahawa tiada lelaki lain
selain Harriz yang boleh menjadi suamiku. Aku ingin bina semula istana cinta
kami yang telah aku runtuhkan dahulu disebabkan kebodohan aku. Tapi, di mana
aku nak mencari Harriz? Sudah merata tempat aku pergi. Telah pelbagai cara aku
lakukan namun gagal. Adakah sengaja Harriz tidak mahu berjumpa dengan aku?
Terlalu besarkah dosa aku padanya?
Ibu dan ayah sudah tahu mengenai perceraian aku dan Hariz. Mereka
benar-benar terkejut dengan tindakan kami pada mulanya. Ayah marahkan aku,
begitu juga ibu. Aku tahu aku yang bersalah. Namun marah mereka tidak lama
kerana mereka tahu takdir sudah tertulis bahawa aku dan Harriz tidak boleh
kekal bersama cuma mereka kesal dengan sikap dan perangai aku yang tidak pernah
berubah. Aku terlalu degil dan sukar untuk dibentuk. Tapi itu dulu, sebelum
kehadiran Harriz. Sekarang, aku bukan seperti aku yang dulu. Harriz telah
mengubah pendirian aku. Dialah punca segala-galanya. Dia jugalah yang telah
membuka pintu hati ini untuk mengenal apa itu erti cinta, kasih, sayang dan rindu.
Aku terlalu rindukan kehadiran Harriz di sisi. Cinta, kasih dan
sayang pada Harriz semakin hari semakin bertambah. Nama Izham terus hilang dari
ingatan aku. Dia bukanlah lelaki yang boleh dipercayai. Segala kegiatan
jahatnya terbongkar apabila satu hari aku terbaca diari Harriz yang tertinggal
di rumahku selepas Harriz menghilangkan diri pada pagi yang keramat itu. Setiap
detik dan hari sudah pasti ada kisah aku dan Izham di London tertulis di dalam
diarinya. Dari situlah aku tahu, Izham bukanlah seorang lelaki yang jujur. Dia
banyak memainkan perasaan wanita seperti aku. Sampai sekarang Harriz tidak tahu
bahawa aku telah membaca diarinya. Segala isi hatinya dan perasaannya pada aku
ditulis dalam diari itu. Barulah aku tahu memang Harriz lebih mengenali aku
daripada aku mengenali diriku sendiri. Dia begitu hebat di hati aku kini.
Harriz.....Di mana kau sekarang...
Suatu hari, aku dapat berita yang rasanya boleh meluruhkan jantung
aku di saat itu jua. Berita tentang orang yang sangat-sangat aku ingin jumpa.
Akhirnya dapat juga aku mendengar berita tentang Harriz tetapi malang kerana
ketika itu aku berada di luar negara menguruskan perniagaan ayah yang ada
masalah. Aku menggantikan kerja-kerja Harriz kerana Harriz bukan sahaja
berpisah dengan aku malah jawatannya sebagai CEO di syarikat ayah juga turut
dilepaskan. Ibu yang menelefon aku ketika itu mengkhabarkan berita tidak baik
tentang Harriz. Harriz kini berada di wad jagaan rapi (ICU). Harriz sakit kuat
sekarang. Begitulah kata-kata terakhir yang sempat aku dengar dari ibu kerana
perbualan kami terputus disebabkan cuaca buruk di New Zealand yang ketika itu
mengalami musim sejuk. Aku tidak dapat menghubungi ibu untuk mengetahui berita
selanjutnya tentang Harriz. Aku menangis semahu-mahunya. Aku ingin pulang segera
tapi semua penerbangan dibatalkan untuk beberapa hari kerana cuaca buruk. Aku
takut andai aku akan kehilangan Harriz dan aku tak sanggup untuk mendengar
berita kehilangan Harriz sekali lagi. Harriz...Ya Tuhan, selamatkan Harriz.
Andai ada jodohku bersama Harriz, pertemukanlah kami dibawah
limpahan rahmat kurniamu... Aku tidak dapat tidur lena selepas mendengar berita
Harriz. Setiap waktu yang berlalu aku terkenangkan Harriz. Bagaimana keadaan
Harriz sekarang? Jariku tidak putus asa ligat mendail nombor telefon ibu, namun
tidak berjaya. Setiap saat degup jantung ini dapat aku rasakan semakin laju.
Semuanya kerana mengenangkan keadaan Harriz. Mungkin sekarang Harriz amat
memerlukan aku berada di sisinya tapi aku tak boleh Harriz. Kita terpisah
dengan benua dan lautan. Aku jauh darimu tapi hati ini terlalu dekat padamu.
Andai kau dapat mendengar suara hati ini, ingin aku katakan bahawa di saat ini
aku sentiasa mendoakan agar dirimu selamat dan dijauhkan dari segala kesulitan
hidup.
Akhirnya malam keramat itu telah merubah takdir hidupku sekali
lagi. Tidak dapat aku lupakan, bagaimana sayunya suara ibu menyampaikan berita
yang paling takut untuk aku dengar. Mungkin ini adalah balasan Tuhan di atas
keangkuhan aku memainkan undang-undang ciptaan Tuhan selama ini. Harriz...Nama
itu kini hanya tinggal bayangan masa silam. Dia benar-benar telah meninggalkan
aku bersama kenangannya. Harriz tidak lagi akan aku temui sampai bila-bila...
"Maafkan ibu, Ain. Ibu tak dapat hubungi Ain dua hari yang
lalu. Harriz sudah tiada lagi di dunia ini. Dia dah tinggalkan kita semua buat
selama-lamanya. Maafkan ibu, ibu lambat beritahu Ain. Kanser hatinya dah
semakin merebak dalam tubuh Harriz. Dia terlalu rindukan Ain tapi dia tak mampu
untuk bertahan lama. Ibu benar-benar minta maaf Ain....."
Kata-kata ibu tidak berupaya lagi untuk aku dengar. Aku terasa
berada di awangan. Semuanya bagaikan halilintar yang membelah bumi. Aku
terduduk. Air mata mengalir tanpa henti. Aku menangis dan terus menangis tanpa
henti. Tidak sempat untuk aku sujud di kakinya, memohon ampun dan maaf. Dosa
aku terlalu banyak pada Harriz.
"Maafkan Ain, Harriz. Ain bersalah pada Harriz dan Ain tidak
sempat untuk sujud di kaki Harriz. Maafkan Ain, maafkan Ain..." Aku
menjerit sekuat hati tapi siapalah yang mampu untuk menenangkan aku di saat
itu. Aku keseorangan. Ibu dan ayah tiada di sisi. Hanya semangat Harriz yang
wujud dalam diri ini tapi kini Harriz meninggalkan aku secara tiba-tiba. Aku
hilang arah tuju. Dunia dapat aku rasakan gelap. Harriz tidak pernah
menceritakan pada aku tentang penyakitnya. Patutlah kata-kata Harriz malam itu
aku rasakan lain. Dia benar-benar maksudkannya. Kalaulah aku tahu begini
jadinya tidak akan aku bertindak bodoh untuk berpisah dengan orang yang ikhlas
mencintai aku. Akan aku jaga Hariz sehingga dia mengucapkan lafaz kematian di
hadapan mata aku sendiri. Tapi, itu semua telah terlambat untuk dijadikan
realiti dalam hidup aku. Hariz meninggalkan aku di saat-saat cinta ini telah
berputik.
Kepulangan aku ke bumi Malaysia tidak membawa apa-apa makna pada
aku kerana orang yang ingin sangat aku jumpa selama ini sudah pergi. Hanya
pusara yang tinggal untuk aku lawati. Setitis demi setitis air mata ini jatuh
mengalir tatkala aku sampai di pusara Harriz. Aku dapat merasakan Harriz seakan
berada di sebelah aku melihat aku mengalirkan air mata kerana meratapi
kematiannya. Harriz, jika dapat kau dengar luahan hati ini, ingin sekali aku
bermohon ampun dan maaf padamu yang tidak pernah sempat terucap di bibir ini
biarpun ketika kita bersama. Baru kini aku dapat menilai erti cintamu yang
mendalam terhadap diri ini. Aku terlalu angkuh dan keegoan ini telah memakan
diri aku sendiri. Sepucuk surat yang terakhir kau tujukan untukku baru kini
dapatku baca.
Meruntun hati ini tatkala aku membaca bait-bait puisi yang engkau
karangi hanya semata-mata untukku. Aku tahu aku benar-benar bersalah !!!..
Ikhlasnya cintamu itu tidak setanding dengan apa yang ada di dalam hati ini
untuk aku beri. Rendahnya martabat diri ini jika kita dapat bersama.
Selafaz doa aku bacakan untukmu, begitu jua jutaan kemaafan aku
pohon padamu Harriz... Sajak yang ditujukan khas buat diri ini tidak puas aku
membacanya. Sekali lagi aku menatap agar ia dapat menenangkan aku kerana tidak
dapat melihat di saat-saat pemergianmu yang tidak dirancang tapi telah
ditentukan Tuhan. Sesungguhnya. ..syurga seorang suami adalah ketika bersama
isterinya dalam susah dan senang... Permata hati buat isteri yang disayangi
Nurul Ain Bt Hamdi...
Dunia saya sewaktu bersama awak dirasakan amat luas.... Awak
adalah anugerah Tuhan yang tak ternilai buat saya... Biarpun cinta ini tidak
pernah wujud dalam diri awak... Namun, harapan itu tetap ada dalam impian saya
Saya sayang awak lebih dari segalanya Saya mencintai awak dengan setulus hati
Tatkala lafaz nikah terucap di bibir ini Memiliki awak adalah amanat yang harus
saya jaga sebagaimana Tuhan menciptakan Adam untuk Hawa... Namun, pemergian
saya tak dirancang... Bila-bila masa sahaja nyawa ini akan menghentikan
nafasnya. Biarpun saya tiada di sisi awak lagi Saya harap awak tidak pernah
lupa akan diri ini yang sentiasa mencintai awak...
-HARRIZ BIN HASHIM-
01 JANUARI 2007